Environment Issues In Malaysia

Apa itu hutan hujan tropika di Malaysia?

  • Bertuahnya Malaysia
  • Tertua di dunia
  • Pelbagai flora dan fauna
  • Perlu dipertahankan untuk generasi sekarang dan akan datang

Jika dilihat dari graf & peta dari pandangan satelit, sejak dua dekad lalu membuktikan malaysia merekodkan negara paling tinggi membalak dan memusnahkan hutan di dunia.

Perubahan pucuk pimpinan negara akan mempengaruhi sedikit sebanyak dasar dan polisi negara termasuk dari aspek pengurusan hutan dan alam sekitar di Malaysia. Tetapi saya berani kata bab pemeliharaan dan pemuliharaan hutan dan haiwan liar masih dalam akta yang lapuk, kita dah dapat Perdana Menteri ke-9, dan rasanya tiada perubahan dari segi orang yang memerintah dan begitu juga Akta Perhutannan 1984 tidak akan dipinda sampai bila-bila.

Sejarah Hitam Alam Sekitar di Malaysia

Kita baru saja merdeka 64 tahun, tetapi hutan dara kita telah dimusnahkan hingga tinggal kurang 20% saja.

Sejak 1990, pembangunan di Malaysia amat rancak termasuk pembinaan jaringan lebuhraya, lapangan terbang, musang king, nadir bumi, kuari batu kapur, new township dan lain-lain.

Mujur menteri yang nak buat kereta terbang dah tamat tempoh, jika tidak berapa banyak tanah dan pokok-pokok yang akan dikorbankan untuk ruang parkir kereta terbang yang memerlukan kawasan lebih luas, bandar-bandar dan perumahan baru serta pelbagai lagi, banyak kawasan hutan terpaksa dikorbankan termasuk hutan simpan kekal demi mengilhamkan impian “Negara Maju” mengikut acuan Malaysia.

Kerajaan dan peminpin silih berganti. Tetapi isu alam sekitar dan pembalakan tidak ada penyelesaian.

Di Kedah – Isu pembalakan di kompleks Hutan Ulu Muda, Kedah seluas 162,931 hektar atau dua kali saiz Singapura – mengugat bekalan air kepada penduduk Pulau Pinang (80%), Kedah (termasuk Langkawi) (96%) dan Perlis (50%). Juga berlaku pembalakan di Bukit Enggang, Sik Kedah (500 hektar) dan Gunung Inas (200 Hektar). – Kebanyakan kes ini sejak zaman BN – PAS – BN – PH – dan terbaharu kerajaan muafakat, kita tidak tahu apa pula manifesto di bawah Perdana Menteri Ke-8 khas buat alam sekitar dan sumber asli.

 

Perak – Isu pembalakan di Hutan Simpan Air Chepam Hulu Perak, Hutan Simpan Kledang Saiong, Hutan Simpan Bukit Kinta, penambakan laut di Perak dan kuari – sejak kerajaan BN – PAS – BN – PH – Kerajaan Muafakat, sekali lagi saya pasti ianya tiada noktah natural resources akan terus dieksplotasi di Perak.

Pulau Pinang – Isu penambakan laut, pemotongan bukit dan lebuhraya terowong dasar laut – bermula sejak pemerintaahan keraan DAP.

Selangor – Isu pembalakan di Selangor lebih tertumpu untuk pembinaan lebuhraya dan kawasan penempatan baru. Ia mengundang kepada masalah air yang kerap berlaku akibat empangan dan sungai menjadi cetek dan tercemar. Terbaharu kerajaan negeri Selangor menyahwarta Hutan Simpan Kuala Langat Utara iaitu satu-satu hutan gambut yang ada dan terakhir di Selangor seluas 2300 ekar. Dan dibatalkan penyahwartaan dan tidak mengejutkan ianya akan diwartakan sekali lagi… Setelah rakyat lupa? NGO alam sekitar yang bertaring telah tiada? Setelah semua pihak dapat disogok dengan duit?

Johor – Isu pembalakan yang tiada noktah & bilangan sungai tertinggi yang tercemar dan mati – berlaku sejak kerajaan terdahulu hingga kini dan selamanya…

Terbaharu pada 5 Mac 2020, seekor harimau malaya mati akibat jangkitan penyakit “Canine Distemper” di Mersing, nama penyait pelik dan baru ini kita dengar, berani saya kata di sini harimau ini mati memang sakit.. Sakit kerana eko-sistem dah rosak, hancur!

Kita nak salahkan siapa?? Takkan nak salahkan harimau? Gajah? Tapir? Rakyats?

Pahang – Isu kilang Lynas, Bauksit, pembalakan di Tasik Chini, kaki Faser Hills, kebun sayur di Cameron Highlands, pembalakan di Raub, Lombong Pasir dan pembalakan merapoh yang mengancam Gua Batu Kapur berusia 300 juta tahun dan eko pelancongan, pencemaran di Sg lembing, pembalakan persekitaran Taman Negara Pahang – berlaku sejak 3 dekad, Zaman BN/PH/PN hingga kini.

Saya nak tanya.. Adakah Taman Negara Kuala Tahan ini akan kekal hingga bila-bila?

Jangan bergantung harap ye… Rasanya Taman Negara Kuala Tahan akan turut hancur tak lama lagi.

Pada Mac 2019, lesen Lynas telah disambung semula dan boleh beroperasi denagn alasan pelaburan menguntungkan Malaysia walaupun sebelum ini pihak PH (sebagai pembangkang) Beriya-iya ingin menutupnya. Exactly macam flinstone!

Isu Bauksit di Kuantan, ditentang oleh pembangkang (PH) hingga pihak Kerajaan Persekutuan (BN) melaksanakan moratorium selama 3 tahun. Malangnya, bermula 1 April, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli YB Dato’ Dr. Xavier (PKR) di bawah PH mengumumkan semua aktiviti melombong dan pengeksportan bauksit boleh diteruskan semula. Ini namanya tak serupa biniki!

Terengganu – Pembalakan di Bukit Besi dan beberapa lokasi hingga mendorong haiwan liar seperti harimau keluar ke lebuhraya dan penempatan. Walaupun Terengganu telah mendapat royalti minyak tetapi lesen dan aktiviti pembalakan masih dijalankan – berlaku sejak pemerintahan BN hingga PAS. Tasik Kenyir menuju kehancuran dan begitu juga Taman Negara ini, one fine day…

Sarawak – antara negeri yang mempunyai kehilangan hutan terbesar akibat pembalakan besar-beran – BN hingga kini

kelantan – telah diperintah oleh PAS sejak 1990 lagi memusnahkan hutan dan meluluskan activiti pembalakan di Hutan Simpan kekal Gua Musang, di Tanah Tinggi Lojing Hulu Kelantan dan beberapa lokasi – atas alasan ekonomi negeri.

Manakala Melaka pada waktu ini hanya mempunyai 3% hutan simpan kekal dari keluasan negeri Melaka dan Negeri Sembilan, angaran kurang dari 20% hutan simpan kekal…

Kesan dari kemusnahan hutan, kematian hidupan liar dari tahun ke tahun menunjukkan peningkatan iaitu 7,451 (2017) bebanding 6,767 (2016) dan 6,258 (2015) dengan Selangor, Johor dan Perak mencatatkan kematian hidupan liar tertinggi iait 1,745, 1,616 dan 792 (statistik oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) 2018).

Antara lain, pencemaran sungai dan anak sungai, kepupusan herba dan sumber ubatan, pelupusan hak-hak dan penempatan orang asli serta berlakunya tanah runtuh, banjir lumpur dan banjir besar seperti yang berlaku pada tahun 2014 di negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Akibat banjir besar 2014, kerajaan terpaksa membelanjakan lebih RM2 bilion untuk memperbaiki infrastruktur dan membina penempatan baru. Sedangkan bajet sebanyak itu boleh disalurkan kepada pembangunan yang lebih baik seperti kesihatan, keselamatan dan pendidikan demi kesejahteraan rakyat.

Malaysia bukan saja mengimport makanan dari luar negara, malah turut mengimport sisa plastik utama dunia

Isu sisa plastik – sepanjang tahun bermula 2016 – 2020, malaysia mengimport 157,299 tan sisa plastik dari negara maju, meningkat 273% berbanding tahun-tahun sebelumnya!

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi Alam Sekitar dan Perubahan Ilkim, YB Yeo Bee Yin menyatakan akan menghantar kembali sisa plastik tersebut ke negara asal dan mengisytiharkan perang penyeludupan sisa plastik tercemar. Adakah mereka menghantarnya? Manakala, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan YB Zuraidah kamaruddin pula menyatakan perniagaan pemprosesan sampah plastik bernilai RM30 Bilion setahun tidak boleh diabaikan! Dua menteri dari kerajaan yang same berbeza pandangan!

Di masa kerajaan PH menjalankan kempen zero plastik dan mengtip 20 sen dari rakyat yang menggunanya di pasaraya, dalam masa sama mereka mengimport sisa plastik!

Sebenarnya, pelbagai usaha dilakukan oleh PEKA dan NGO-NGO berkaitan alam sekitar termasuk mengadakan perbincangan dengan agensi terlibat dari peringkat pegai hingga menteri, ketua menteri dan menteri besar samada semasa pemerintahan kerajaan terdahulu dan masa kini namun menemui kegagalan.

Hingga PEKA terpaksa menganjurkan program berjalan kaki dan berarak dari padang Merbok ke Parlimen pada 18 Julai 2019 untuk menyerahkan memorandum mohon pindaan Akta Perhutanan dan Perlembagaan Persekutuan 1984 kepada Timbalan menteri Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli YB Tengku Zulpuri (DAP).

Ia juga bertujuan ingin menarik perhatian YAB Perdana Menteri, menteri kabinet dan ahli parlimen bahawa masalah pembalakan, kemusnahan hutan, kepupusan haiwan, pencemaran sungai, isu orang asli dan alam sekitar merupakan isu nasional yang berada di tahap kronik, kritikal, nazak dan perlukan tindakan segera.

Mengenai isu orang asli pula, isu pembalakan dan tanah adat amat berkait rapat. Hak mereka tidak diiktiraf oelh kebanyakan kerajaan negeri sedangkan mereka adalah pribumi dan penduduk asal negara ini. PEKA Malaysia bawa 5 bas orang asli Gua Musang pada 10 Ogos 2018, malangnya orang asli di Gerik Perak dan Lojing kelantan di bawah kerajaan PH/PN juga mengalami nasib yang same seperti di Gua Musang.

Mereka terpaksa membuat blockade bagi menghalang pembalak memasuki kawasan hutan untuk memusnahkan sumber makanan dan minuman mereka hingga ada yang ditangkap dan didakwa. Dan proses tuntutan mahkamah tanah adat masyarakat orang asli Cunex dan Kg. Kelaik Lojing masih lagi berjalan. PEKA membantu mendapatkan khidmat peguam secara probono. Marilah kita berdoa semoga segalanya keputusan mahkamah menyebelahi masyarakat orang asli Cunix Gerik dan Kampung Kelaik Lojing.

Saya dan prsiden PEKA juga telah ditangkap atas tuduhan meceroboh kawasan hutan di Gua Musang dan Kuala Mu di Perak, juga ditahan reman 3 hari di Johor – semuanya gara-gara memperjuangkan isu alam sekitar dan hutan simpan di Malaysia.

Selepas pertukaran kerajaan pada 2018, PEKA dan NGO alam sekitar merasai ada harapan dan berharap janji menifesto dari aspek pengurusan hutan ditunaikan. Harapan bertukar kepada haprak!

Pembentukan dua kementerian khusus mengurus alam sekitar lebih menyakinkan bahawa janji-janji akan ditunaikan.

Tetapi, sejak hampir 24 bulan mengambil alih pemerintahan, banyak keputusan dan tindakan kerajaan PH mengecewakan. Habuk pun tarak! Tiba-tibua semua hilang jawatan kecuali pengampu atau batu api dapat perlantikan semula. Dan berterusan dengan kerajaan PN-UMNO/PAS hingga ke hari ini.

Antaranya projek keretapi ECRL yang akan merosakkan sungai-sungai, Banjaran Titiwangsa dan hutan masih diteruskan. Selain itu, kilang lynas terus dibenarkan beroperasi, aktiviti bausit dibenarkan semula, manakala aktiviti pembalakan di hampir semua negeri masih diteruskan – semuanya atas alasan ekonomi dan wang ringgit.

Bagi saya, bertukar kerajaan atau pemimpin tiada bezanya jika dasar dan undang-undang hutan dan alam sekitar masih tidak berubah atau ditambah baik.

Semua tahu menurut Akta Perhutanan Negara 1984, adalah wajib pokok yang akan dibalak ditanda dan dikatalog. Dan, pokok ini perlu ditebang tanda meratakan atau membersihkan hutan secara total.

Bagaimanapun, keperluan undang-undang ini menjadi penghalang kepada pembalak dari segi masa, kos, tenaga dan bilangan pokok yang boleh ditebang. Adalah lebih mudah dan lebih cepat bagi pembalak meratakan atau membersihkan seluruh kawasan hutan tersebut dan mengeluarkan kayu balak (cuci mangkuk).

Tetapi, kerajaan negeri telah memanupulasi kelemahan beberapa undang-undang.

Antaranya, untuk melakukan hal ini secara sah dan memintas undang-undang di bawah akta perhutanan tersebut, kerajaan negeri boleh menggunakan kuasanya yang diperuntukkan dalam perkara 74(2) Perlembagaan Persekutuan, yang memberkan kerajaan negeri keutamaan bidang kuasa ke atas hal ehwal tanah termasuk hutan. Maka itulah yang telah dilakukan kerajaan negeri seperti di Kelantan.

Semasa pemerintahan kerajaan BN sehingga tahun 2018, hampir 95% negeri-negeri diperintah oleh parti yang sama. Begitu juga sejak PH mengambil alih kerajaan pusat dan menguasai 8 buah negeri, yang mana menteri besar dan ketuanya dilantik oleh Perdana Menteri masih tidak dapat mengawal mereka dari terus menjalankan aktiviti penegangan hutan berleluasa dan menguruskan alam sekitar lebih efisien!

Adakan sebelum ini BN, kerajaan PH dan sekarang PN-UMNO-PAS yang sedang mencongak-congak iaitu kerajaan muafakat – adakah salah satu agenda yang dicanang akan meminda dan menambah baik perlembagaan persekutuan, kanun tanah negara dan akta perhutanan (tindakan tidak popular dan pastinya ditentang) agar ianya tidak mudah dimanupulasi oleh kerajaan negeri?

Apa pula perancangan jangka pendek dan jangka panjang untuk menghentikan aktiviti pembalakan dan penanamansemula hutan yang telah musnah?

Saya ingin memberikan beberapa contoh dan pengalaman beberapa kerajaan di luar negara dari aspek pengurusan hutan dan alam sekitar.

Perbezaan antara Haiti yang 99% hutan telah dimusnahkan berbanding jirannya, Republik Dominica yang memelihara hutan untuk tujuan eko pelancongan.

Di Haiti, hampir seluruh hutan di negara tersebut telah musnah kerana kerajaan yang tidak stabil dan lebih mementingkan wang.

Bahkan, Haiti membakar hutan untuk dibuat arang dan mengeksportnya selain keseluruhan penduduk negara miskin tersebut terpaksa memotong pokok hutan sebagai punca tenaga termasuk memasak setiap hari kerana kerajaan Haiti tidak menyediakan pilihan lain untuk rakyatnya.

Menurut kajian dilakukan oleh Oregan University dan Temple University menyatakan ramai rakyat Haiti mati kerana banjir kilat dan gempa bumi yang ada kaitan dengan kemusnahan hutan.

Berbeza Republik Dominica yang memelihara hutan secara mampan, menjadikan hutan dan taman negara sebagai sumber eko pelancongan utama negara yang menjana ekonomi negara tersebut.

Selain itu, jiran kita Singapura diiktiraf sebagai bandaraya terhijau di dunia. Berapa besar Singapura dengan kita malaysia? Mereka mempunyai iklim dan suhu sama seperti kita dan menanam pokok dan membuat hutan untuk menjaga alam sekitar negara mereka.

Manakala Thailand pula menghentikan aktiviti pembalakan secaara total dan menguatkuasa undang-undang hukuman mati kepada pembalak pada tahun 1998.

Teteapi, jauh disudut hati saya dan masih berharap tidak kira lah siapa dilantik menjadi Perdana Menter ke 10…11…12, mohon beliau akan memastikan agenda sebenar bukan saja di bidang politik dan sosial tetapi pengurusan alam sekitar dan hutan yang lebih mampan.

Maka, saya dan PEKA ingin mencadangkan agar alam sekitar menjadi salah satu silibus pendidikan negara dengan memulakan pendidikan awal mengenai alam sekitar dan hutan bermula dari tadika dan sekolah rendah.

Dari aspek pembinaan lebuhraya baru, rekabentuk hendaklah mengambilkira hutan dan alam sekitar seperti reka benturk lebuhraya Rawang bypass (Via-Duct) yang menitik beratkan kepentingan khazanah alam dan hidupan liar.

Saya juga menuntut agar isu rasuah yang melibatkan semua peringkat dari pemimpin hingga bawahan dihapuskan secara total termasuk pihak swasta terutama yang melibatkan antara pembalak, pejabat hutan dan pembuat kelulusan konsesi lesen pembalakan.

Saya dan PEKA Malaysia juga menuntut dari sudut undang-undang – meminda perlembagaan negara, akta perhutanan negara dan kanun tanah negara yang menjurus kepada pemeliharaan hutan dan alam sekitar yang lebih bertanggungjawab di peringkat negeri dan persekutuan.

Atau kerajaan pusat mengambil inisiatif atau kira-kira bagaimana caranya untuk membayar kepada kerajaan negeri (Compesete) pendapatan dari premium pembalakan dari terus mengeksploitasi sumber asli negeri tanpa kawalan.

Ingatlah, tanpa hutan, kita akan menghadapi masalah besar iaitu sumber air bersih dan kerosakan rantaian hidupan yang menjadi keseimbangan eko sistem kehidupan kita.

Adakah kita telah bersedia nilai air akan diniagakan sebagai komoditi di bursa saham dan nilainya akan menjadi lebih mahal dari pertol dalam masa 20-30 tahun sekiranya hutan kita sebagai penapis  penabung air hilang begitu sahaja? Dan ketika ini kita akan bergantung air dari cari-gali bawah tanah. Sanggupkah kita mendiami bumi ini yang akan mendap sedikit demi sedikit dan berada bawah paras laut?

Berapa Kali kita bertukar kerajaan bertukar peminpin, walau bagaimana ia dilaksanakan mohon jalankan tanggungjawab dengan jiwa ikhlas, menyeluruh meliputi cara pengurusan negara termasuk hutan simpan, alam sekitar dan haiwan liar yang lebih mampan dan lestari – ini adalah amanah rakyat demi anak bangsa dan cucu cicit yang akan mewarisi negara ini.

 

‘See Nature, See Life’

Sekian, terima kasih dan Assalamualikim WBH.

Yatie Shahrom